Wednesday, January 1, 2014

BRUNEI YANG SATU

Kota Kinabalu ke Brunei Darussalam

Satu Perjalanan Yang Panjang.




Sebelum MCo melaritkan penceritaan perjalanan kali ini MCo ke Brunei Darussalam (BDS) biarlah MCo ceritakan sedikit, kenapa BDS dan kenapa Melalui Kota Kinabalu? Kepada sesiapa yang pernah mengikuti blog MCo ini, maka sudah pasti mengetahui banyak kali MCo telah datang ke Kota Kinabalu Sabah ini, dan puratanya ialah dalam 3 kali setahun. Sebenarnya MCo memang juga teringin untuk ke BDS ni, cuma tiada kesempatan, Justeru itu, pada kali ini MCo mengambil peluang untuk "sampai" juga di BDS ini, kerana kemungkinan besar MCo tidak akan lagi menjejakkan kaki jke Kota Kinabalu ini, atau mungkin mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini lagi, Oleh itu, MCo mengambil kesempatan ini untuk singgah ke BDS, namun walaubagaimana pun ia bukanlah keputusan muktamak  MCo.

Perjalanan MCo kali ini bukanlah sesuatu yang singkat, tetapi ia mengambil masa yang agak lama, dan perjalanan seperti ini memang menjadi kegemaran MCo untuk menambahkan lagi pandangan. MCo tidak mahu juga menceritakan terlalu banyak mengenai perasaan ini, tetapi biarlah MCo menceritakan secara global dalam perjalanan ini, dan seterusnya penceritaan akan berasaskan kepada gambar-gambar.

Info Ringkas Perjalanan MCo 
  •  Perjalanan Melalui Jalan darat dengan bas (Sipitang Express) untuk detail boleh tengok website syarikat pengangkutan berkenaan di sini sipitang express dengan no telefon untuk tempahan +6016-8360009.
  •  Harga tiket RM100.00 (boleh di beli melalui telefon  booking)
  •  Masa Perjalanan 8.00 pagi dan dijangka sampai 5 petang jika lalulintas lancar.
  •  Melalui:- Kota Kinabalu ke Beaufort dalam 92km. Beaufort ke Lawas 110km. Lawas ke Bangar 48km. Bangar ke Limbang 20km. dan Limbang ke Bandar Seri Begawan melalui sempadan Tedungan ialah 43km.
  •  Bagi orang semenanjung, memerlukan 7 kali untuk cop passport.
  •  Bas akan berhenti di hentian bas Lawas selama 1 jam.
 Itulah serba sedikit catatan info perjalanan MCo ke BDS melalui KK. Namun bergitu biarlah MCo ceritakan lebih terperinci perjalanan MCo ni...

25 Dis (Rabu)
MCo sampai di KK, dan terus ke Keningau, dan Bingkor Lama, iaitu ke rumah mumy, persinggahan yang singkat di rumah Mumy MCo, di sini dikira tempat wajib bagi MCo jika datang ke Sabah....MCo tidak mahu bercerita panjang mengenai ini, sebab MCo dah banyak ceritakan dalaUm post-post terdahulu.

26 Dis (Khamis)
MCo kembali ke KK, seperti biasa kadar bas RM15 dalam masa 2jam 30minit, dan bermalam di tempat biasa, La Viva hotel.
MCo ke Stesen bas di mana letaknya kaunter Sipitang Express untuk mengambil tiket yang di tempah. stesen ini terletak di hadapan mahkamah lama dan dekat dengan hotel MCo menginap.

27 Dis (Jumaat)
Seawal 7.30pagi MCo dah pun berangkat ke stesen bas Sipitang Express, dan tepat jam 8, bas mula bergerak.
12.00 tengahari sampai di Hentian bas Lawas, dan rehat selama 1 jam.
1.00 tengahari dah mula bergerak kembali. dan seterusnya berhenti satu demi satu sempadan, Sabah-Serawak, serawak-BDS, BDS-Sarawak, dan Sarawak-BDS.

...dan di sini lah bermulanya kisah MCo yang baru...di mana kisah post MCo yang terdahulu, iaitu kisah perjalanan MCo ke Limbang, untuk cerita lanjut, boleh lah baca di sini.--> MCo di Limbang

MCo kenal dengan seorang yang bernama Tarmizi (seperti cerita MCo di post yang lepas). Dengan perkenalan ringkas, telah mengubah landskap perjalanan MCo ke BDS ini. Tarmizi ini lah (bersama adiknya Edi perjalanan di Limbang, dan Loddy di BDS) yang membawa MCo "pusing-pusing" di BDS. Walaupun MCo sedikit terikat dengan perjalanan mereka, tetapi MCo puas dan bersyukur serta matlamat MCo ke BDS ini tercapai. Untuk pengetahuan, traveler seperti MCo ini tidaklah digalakan bergerak solo di BDS kerana kesukaran mendapatkan pengangkutan seperti teksi, BDS tidak seperti negara-negara lain yang mempunyai banyak teksi, walhal di Australia atau Korea sekali pun, ini terjadi kerana, boleh dikatakan setiap rumah penduduk BDS ini mempunyai kereta, jadi tidak mustahil lah, mereka jarang menggunakan perkhidmatan teksi.

Atas pendapat dan nasihat Tarmizi dan seorang lagi kawanya iaitu Peng, MCo di cadangkan menginap di Limbang sahaja. (ini lah cerita dalam post yang lepas).

28 Dis (Sabtu)
MCo mengikuti Tarmizi berserta ibunya dan adik-adiknya ke BDS, kerana, sebenarnya sepupu mereka akan adakah jamuan majlis perkahwinan (nama tempat? di harap Tarmizi atau Loddy, sahabat MCo dapat membantu......................................................) dan juga minta namakan tempat beli souvenir dan kain.
Pada hari ini, tidak banyak aktiviti MCo dapat suratkan, memandangkan pada hari ini masa MCo banyak di habiskan di rumah sepupunya.

29 Dis (Ahad)
Ialah hari terakhir MCo di BDS. dan pada hari ini lah MCo di bawa oleh Tarmizi dan Loddy berjalan-jalan, antara tempat yang MCo lawati ialah Pejabat Perdana Menteri, Dewan Kovensyen, Masjid Omar Ali Saifuddien (Masjid berkubah emas), Seberang Kampung Air, Tamu, dan jam 2 petang mereka hantar MCo ke International Airport.

Maka berakhirlah perjalanan MCo di BDS ini.... dan untuk lebih terperinci, biarlah gambar akan menceritakan segalanya.. seperti lepas-lepas, gambar-gambar ini adalah hak milik penuh MCo dan adalah koleksi MCo sendiri, dan yang penting, susunan gambar ini telah pun mengikut kronologi.

JOm... kita masuk dalam....meh biar MCo cerita lagi....


Sawah padi, di rumah mumy...dulu MCo datang.... masih belum di tanam...ini sudah siap sedia untuk di petik, di tuai.... rumah mumy di Bingkor Lama, Keningau... lepas ni MCo tidak tahu bila lagi MCo akan sampai di sini, walaupun mumy suruh datang pada April 2014 nanti....


26hb Disember, MCo di KK, dan bangunan di atas itu ialah Centre Point (CP) dan pusat shopping ini lah tempat MCo selalu lepak, makan, dan juga menonton wayang jika perlu. Gambaran daripada depan hotel di mana MCo menginap.

La Viva hotel....di mana hotel yang sudah menjadi darah daging MCo jika "melepak" di KK. No tel hotel ini untuk rujukan akan datang +6088239888 atau boleh lihat gambaran di sini la viva hotel dengan kadar harga bilik single ialah RM75.00 (klik pada gambar untuk besarkan)
Di KK, di mana tempat untuk membeli "handmade" Sabah, atau tempat untuk membeli cenderahati (souvenir) iaitu Pasar Philipine...ehh betul ke? gambar di atas tu ialah luaran pasar Philipine tersebut.
Keadaan di dalam pasar Philipine ini, banyak jual "souvenir", harga pun boleh di tawar-tawar, MCo tidak boleh kata berpatutan, sebab bergantung pada seseorang menilai barang itu murah atau tidak.

..barang yang paling terkenal di Sabah ini ialah mutiara, samada mutiara air tawar atau mutiara aiar masin, harga bergantung juga, biasa dari harga RM25 hingga ratusan ringgit jika berkualiti.

Keadaan di luar pasar cenderahati tu... berhadapan dan bersebelahan dengan laut, kelihatan penjual menolak kereta sorong peralatan untuk jualan di pasar malam, gambar ini di snap dalam lingkungan pukul 3 petang.
Lagi gambar panorama di tepi pasar Philipine ini.. langit nampak gelap pada hari tersebut (26 hb), dan pada hari itu memang hujan turun dengan lebatnya, dalam pukul 5 petang hingga lah lewat malam.

Cerita pada 27hb

Seperti MCo nyatakan, 27hb MCo akan berangkat ke Brunei dengan menaiki bas, dan stesen bas tersebut hanya berjalan kaki dengan hotel di mana MCo menginap dan dekat dengan mahkamah lama.

Inilah keadaan stesen bas yang tak nampak macam stesen bas ini, hehehe. bas hanya di park di tepi-tepi jalan, tapi ini lah kawasan yang diperuntukkan oleh kerajaan tempatan kepada syarikat-syarikat berkenaan untuk beroperasi.

Bersetentangan dengan stesen bas tersebut ialah bangunan mahkamah ini...
Close up bangunan tersebut....

Dua gambar di atas, ini lah bentuk kaunter Sipitang Express di mana syarikat bas yang MCo akan naiki untuk ke BDS.

Oleh kerana perjalanan MCo adalah destinasi luar daripada Malaysia, maka passport di perlukan dalam membeli tiket bas ini, gambar menunjukan penjual sedang key in data untuk tiket MCo.

Inilah bentuk tiket, ada nama penuh, ada no passport, ada destinasi dan lain-lain sebagaimana bentuk tiket bas-bas lain. Selain itu juga MCo dibekalkan 2 keping "departure card". (mula-mula MCo terfikir, kenapa 2 keping atau sengaja dia tersalah bagi)...then, kemudian ada ceritanya.

salah satu panorama yang sempat MCo snap semasa dalam perjalan MCo ke BDS.


Stesen yang MCo nyatakan, Terminal Bas Lawas, sampai di sini jam 12 tengahari, dan pukul 1 mula bergerak kembali, MCo sempat makan tengahari di sini, dan sempat pusing-pusing sekitar Lawas.

Keadaan salah satu jalan di Lawas..lengang tidak banyak kereta.....

Perjalanan diteruskan, bergini lah keadaannya, seperti MCo nyatakan di awal tadi...untuk ke BDS daripada KK, MCo perlu turun dari bas untuk cop passport sebanyak 7 kali. Jadi ini lah salah satu post imigresen di Serawak. Bergantung keadaan, dan masa, kadang-kadang banyak kereta, kadang-kadang lengang.


Close up post imigresen ini...

Bergini lah keadaan di post imigresen untuk cop passport, pada post pertama MCo tidak tahu yang MCo perlu kena cop passport, iaitu post pertama nak keluar dari Sabah dan untuk memasuki Sarawak, memandangkan driver dan kelendan bas tidak "sound" cop passport.







Apa yang menarik, nak dikongsikan dengan gambar di atas ini... kawasan ini adalah daerah Limbang, Sarawak iaitu sempadan dengan BDS. Jika nak diklasfikasikan kawasan ini, ia adalah seperti Sg. Golok atau pekan Danok Thailand, hal ini MCo telah nyatakan pada awalnya, dan boleh di katakan di sini lah tempat rakyat BDS minum minuman keras, ada bar, ada disco mungkin atau mungkin juga ada "puying" untuk di langgani. MCo hanya sekadar lalu di kawasan ini...



Dua gambar di atas, beratur untuk masuk ke BDS, kalau tak silap, ini adalah post imigresen BDS Kuala Lurah. Ketika ini adalah dalam pukul 6 petang, tersasar dari target awal iaitu pukul 5 sampai di BDS, ini lah yang menyebabkan masa menjadi 'delay'... bukan salah jalan atau jarak yang jauh...kadang-kadang kami dalam bas terpaksa menunggu hampir 1 jam lebih untuk turun cop passport.


Ermm...sekadar info.. 2 gambar di atas ada sempadan di daerah Limbang dan BDS, botol-botol minuman keras, maklumlah, BDS adalah negara yang diharamkan untuk meminum minuman keras.


 Ini adalah cerita sampingan pada 27hb, di mana MCo sempat singgah setelah mengikut Tarmizi, pada waktu ini sekitar jam 8 malam.

Gambar pada 28hb Disember, di mana MCo memasuki BDS bersama keluarga Tarmizi, dan Loddy (ada bersama ibu dan adik perempuannya). Pada hari ini, masih kelihatan ramai orang yang berpusu-pusu memasuki BDS. Kali ini tidak seperti hari sebelumnya memasuki BDS dengan bas, tetapi kali ini MCo memasuki BDS dengan kereta keluarga Tarmizi itu.

Bersedia untuk masuk BDS....kami potong jalan...sebab Loddy ini salah seorang pekerja di Imigresen...tapi dia mungkin lebih tahu selot belok nya.... MCo just diam di kereta.
.....Selain Thailand dan Singapore, BDS juga boleh di masuki dengan pandu kereta   (Kereta yang berdaftar dengan no plat Malaysia), Jika Singapore dengan Autocard, dan Thailand dengan Customs form, maka BDS juga mempunyai customs form juga, tetapi ia amat ringkas jika berbanding dengan Thailand. Misalnya, Thailand sekali pohon, maka sekali guna, tetapi BDS, boleh guna sehingga tempoh yang telah di tetapkan, Gambar di atas menunjukan contoh Customs form untuk kereta no Pendaftaran Malaysia untuk memasuki BDS.

Off topic daripada BDS...ini adalah jalan hendak menuju ke sempadan BDS... sebelah kiri ialah kuartes kastam dan yang nampak bumbung itu ialah kuartes imigresen....

Salah satu Masjid yang sempat MCo snapkan di BDS, ketika ini MCo ingin pergi ke DE'IYAD iaitu kedai yang menjual kain.
Ini lah De'Iyad, kedai jual kain yang MCo nyatakan di BDS ini. harganya boleh dikatakan berpatutan, ada yang murah, dan ada yang mahal, tetapi setiap pembelian yang bernilai BD$100 akan memperolehi baucer dan kad ahli. (Itu yang MCo dengar semasa MCo di Kaunter pembayaran). Gambar: kelihatan Loddy, sedang tunggu MCo untuk masuk dalam selepas snap gambar ni..hehehe. 

Keadaan di dalam De'Iyad... tengoklah harga nya.... tak ada banyak beza jika di Malaysia, Maksud MCo ialah susunaturnya, tentang harga? MCo kurang arif. tapi itu lah MCo sempat snapkan...

1 helai hanya BD$1.00. iaitu tudung yang menjadi trend orang BDS pakai.. MCo pun ada beli sikit untuk rakan-rakan di Malaysia.

Selesai di kedai kain De'Iyad, maka kami pun bersedia untuk pergi makan, perut pun dah rasa agak kosong, tetapi ini dah menjadi kebiasaan kepada MCo jika berkunjung di tempat orang, walaubagaimana pun, MCo suka untuk mengetahui makanan orang tempatan di BDS ini. Lain tempat, lain cara, lain makanan dan lain juga citarasanya... Jadi keluarga Tarmizi itu membawa MCo ke Restoran ini..iaitu Restoran Aminah Arif, MCo difahamkan restoran ini antara restoran yang digemari dan famous, serta ada banyak cawangan di BDS ini, lagi pun premis ini pun baru pindah ke bangunan baru....jom kita masuk dalam..kita tengok apa yang ada....
Menu.... siap ada website tu....MCo cuba buka website ni tapi masih under contruction...tapi boleh klik di sini untuk akan datang, mungkin sudah ok ----> restoran aminah arif
MCo difahamkan, di BDS ini ada makanan tradisi yang tiada di Malaysia, khususnya di Semenanjung, iaitu Ambuyat. MCo pun tidak tahu jenis macamana makanan itu... tapi itu lah yang ada dalam menu di restoran itu, dan mereka menyatakan, ia memang sajian utama untuk restoran ini, memandangkan page pertama dalam buku menu ini, inilah makanan pertama.

...Nah apa yang MCo ingin fokuskan ialah.... tengoklah satu makanan yang harganya $1.00. itulah dia nasi katok, nasi tradisi orang BDS. Harganya kekal dengan $1.00 sejak turun temurun, (jangan dikira currency)... sesetengah orang berkata, jika datang ke BDS ini, jangan tak cuba dengan makanan ini... 1. Ambuyat, 2 Nasi Katok....jom tengok gambar lain...
Hah....ini lah Ambuyat itu... gambar macam "koleh lemak" (sejenis makanan tradisi Terengganu)..tetapi sebenarnya bukan, rupa sahaja macam sama, tetapi acuan, rasa dan cara pemakanan pun berbeza. Biar MCo ceritakan serba sedikit tentang ambuyat ini...
Ambuyat merupakan makanan atau hidangan atau pun diperbuat daripada batand dalam sawit atau lebih dikenali sebagai sagu, dan semestinya ia adalah bahan berkanji, namun bergitu ia juga boleh di anggap seperti tepung beras atau ubi, dan lelehannya sememangnya seperti gam, melekit. Ia merupakan makanan tempatan BDS dan MCo di fahamkan ia juga famous di Labuan, Sarawak dan juga Sabah, (tetapi di Sabah MCo belum jumpa lagi). Ambuyat dimakan dengan garpu buluh atau orang BDS panggil "Chandas". cara makan nya ialah dengan menggolekkan ambuyat sekitar hujung chandas tersebut dan kemudian mencelupkannya ke dalam mana-mana sos yang di sukai, terdapat banyak sos, samada mahu makan dengan sayur, daging atau ikan..pilih citarasa kita... tetapi ada juga orang tak pandai menggunakan chandas ini, tetapi bisa menggunakan garpu biasa atau sudu...hahahaa tapi tiada orang menggunakan jari jemari...so...jika anda ke BDS jangan tak cuba memakan makanan tradisi BDS ini. anda rasa, anda tahu....
(Gambar: kelihatan bentuk chandas...seperti chopstick...tetapi bukan kerana hujung chandas ini "bertakut" atau bercantum...)
Gambar lain... Chandas, sudu, sayur tauge, sambal tempoyak, ikan...itu adalah antara hidangan utama untuk Ambuyat, dan sos mana-mana sahaja yang kita suka.. itu lah kaedah untuk memakan ambuyat ini.

..Eeerrmm.... MCo tak mahu nak rasa ambuyat ini... anda cuba lah sendiri.... cun......

MCo sedang menggolek ambuyat dengan menggunakan chandas...hahahaha padahal MCo telah pun di ajar oleh si saudara Loddy di sebelah MCo itu bagaimana nak menggolek ambuyat ini, ia nampak mudah, tapi bagi mereka yang tidak arif, pasti sukar untuk membuatnya..seperti MCo sendiri juga...
 Ini lah rupa nasi katok yang MCo nyatakan tadi... walaubagaimana pun MCo difahamkan bentuknya sekarang adalah berbeza dulu dan sekarang, sekarang sudah mengalami perubahan, ada yang di tambah sambal dan lauk pauk nya.. jom MCo cerita sikit pasal nasi katok ini.

Menurut cerita yang MCo perolehi daripada sahabat MCo di BDS ini... nasi katok bermula sejak tahun 1960 an oleh keluarga cina yang berniaga secara kecil-kecilan dirumahnya di Low San Flat, Mabohai BDS.
 Peniaga ini menjual sehingga larut malam tanpa membuka premis dan hanya beroperasi di kediamannya sahaja, yang terjadinya nama "nasi katok" ini ialah, pembeli akan datang sendiri ke rumah penjual ini dengan mengatok (katok atau ketuk) pintu rumah untu membeli nasi katok ini.
Disitulah bermulanya nama nasi katok dan keluarga Low San ini jugalah orang pertama yang memperkenalkan  nasi katok kepada orang2 Brunei.

..Satu gambar masa pembukaan...dan kini satu lagi gambar penutup setelah keluar daripada restoran ini...hehehe.....
Selesai sahaja kami makan di Restoran Aminah Arif tu, kami berangkat pula ke rumah sepupunya si Tarmizi ni 'area' muara iaitu Perumahan Tanah Jambu.  tetapi ini keadaan persekitaran taman di BDS ini. harga satu unit? memang kaw kaw punya murah. MCo pun tak sanggup nak sebut sebab takut penduduk Terengganu rasa tergugat dengan harganya.... hehehe ok lah... MCo bagitau lah... MCo difahamkan instalment ialah 'boleh didapati " serendah $150. Jadi harga boleh faham sendiri lah...

Inilah bentuk rumah tersebut jika di close up... besar kan? MCo tidak tahu meter persegi, jika orang yang arif, pasti lebih mengetahuinya.

eerrmm... apa yang MCo snapkan ini? MCo pun ada cerita sedikit berkenaan ini, seperti MCo ceritakan di awal penceritaan, Tarmizi akan menghadiri majlis kahwin sepupunya di BDS ini...dan "benda" di atas tu adalah satu kebiasaan di sewa dengan harga $400...untuk berapa hari, MCo tidak tahu, mungkin 1 hari. Ia jadi kebiasaan untuk menghiburkan hati kanak-kanak di majlis perkahwinan ini..oklah MCo pun tidak tahu untuk bercerita panjang berkenaan benda ini, tapi bagi MCo ia adalah sesuatu yang baru, walaupun di Terengganu sudah ada, tapi MCo tidak pernah lagi melihatnya.

Suasana malam itu di rumah sepupu Tarmizi dan Loddy ini. MCo lepak di situ, boleh dikatakan seharian juga, dan seperti MCo nyatakan tadi, MCo mengikut mereka, maka jadual MCo secara tidak langsung terikat dengan jadual mereka...ini adalah mungkin jamuan awalan atau jamuan sambutan hari jadi.. eermm nasi nya best..seperti nasi di korea...hahaha.... sama nasi seperti rumah mumy di Bingkor juga....

Ini cerita pada 29hb Disember, Kali ini MCo cukup bertuah, bukan langkah kaki kanan...tapi langkah kedua-dua belah kaki terus...hehehe...kisah pendek, MCo tidak tidur di hotel bila di BDS ini, tetapi tidur di rumah sepupu Tarmizi dan Loddy ini, berek tentera. (gambar di atas: inilah bentuk berek tentera tersebut, kalau diikutkan, mungkin gambar ini salah sebab menunjukan penempatan mereka)..Gambar ini di snap di awal pagi..sebelum MCo bertolak ke mana-mana, Oop!! MCo nak cerita sikit...nampak tak "bangsal kecil" sebelah kiri gambar itu? ia merupakan tempat pengumpulan sampah bagi penduduk di situ, yang bestnya bangsal kecil tersebut di tutup..jadi sampah tidak berselerak.

Jom jalan-jalan di Bandar Seri Begawan, BDS

29hb Disember adalah hari terakhir MCo di BDS, penerbangan MCo dari BDS International Airport jam 4.25 petang, masih sempat MCo berjalan-jalan di sekitar Bandar Sri Begawan (BSB). MCo mempunyai memandu pelancong kali ini..hehehe iaitu Loddy dan Tarmizi..ini lah keistimewaan mereka, sanggup menemani MCo untuk berjalan-jalan disekitar BSB, walaupun mempunyai waktu yang singkat, tapi mereka sempat bawa MCo hampir keseluruhan tempat di BSB, walaupun hanya sekadar singgah, dan bergambar, dan itu lah tujuan MCo, dan sedikit mendapat info tempat yang MCo lawati itu.
Ini lah tempat pertama yang kami (MCo, Tarmizi dan Loddy = MTL) singgah, bergambar di pintu utama pejabat Perdana Menteri, di katakan jika PM Malaysia datang pun akan singgah di sini. MTL tidak mengambil masa yang lama di sini, sebab hanya boleh bergambar sahaja.

Dua keping MCo bergambar... berlatar belakangkan pejabat PM ni... dan...
close up...untuk gambaran lebih jelas..MCo.
MCo bersama Tarmizi....

...dan 2 keping MCo bersama Loddy.... so kami ialah MTL.

Ini ialah pusat Konvesyen BDS. MCo sebenarnya tidak tahu secara terperinci mengenai bangunan ini, dan mungkin susah sedikit untuk mendapatkan infonya.




 

sempat bergambar dengan Loddy seberang jalan yang berlatar belakangkan pusat konvensyen ini..


MCo bergambar solo......
Pusat konvensyen...di snap dari jarak jauh....

Mini cooper... nampak tak kereta tergantung tu? itu adalah salah satu daya penarik pada pusat pameran kenderaan ini..walaupun tulis di situ.."no photo".tetapi MCo tetap juga snap sekeping untuk membuktikan yang bahawa MCo pernah sampai di sini....
ini lah sebenarnya 'highway' di BDS, ada 2 line, lalu lintas tidak sesibuk di Malaysia, dan yang penting ialah... TIADA TOL...semua percuma...jom MCo kata, kita ke sana pula... banyak lagi tempat nak pergi ni... hehehe..sedangkan masa hanya ada 2, 3 jam lagi untuk depart ke Kuala Lumpur.

Tamu Kianggeh

Tamu Kianggeh..oklah biarlah MCo cerita sikit berkenaan dengan Tamu Kianggeh ini  walaupun tidak lah secara terperinci.

  •  Lokasi Pusat Bandar Seri Begawan di tebing sungai Kianggeh bertentangan dengan kuil cina.
  •  Operasi waktu : 6.00 pagi hingga6.00petang ( Jumaat adalah hari kemuncak jual beli)
  •  Tamu Kianggeh bermula pada awal 1960-an pada masa yang sama wujud padian wanita menjual produk mereka di bot. Sejarah juga menyatakan bahawa sekitar tahun 1980-an Tamu Kianggeh telah digunakan untuk dilawati oleh Ratu Elizabeth dua kali dan begitu juga dengan anaknya, Putera Charles.
  •  pelawat-pelawat yang mahu untuk merasai juadah dan hidangan Brunei, tamu ialah tempat terbaik untuk dilawati.Tarikan utama tamu bukan sahaja harga rendah dan produk berkualiti tinggi. dan hasil tangan penduduk tempatan yang pengalaman dan memiliki kepakaran khusus. Banyak benda yang dijual disini tidak ada didapati di pasaran konvensional dan pembeli-belah kraftangan boleh mendapat tawaran-tawaran yang menguntungkan di sini.
  •  Barang Jualan:bahan basah bahan kering Bahan itu boleh didapati sama ada dengan cara borong atau hasil tanaman mereka.


MCo sempat bergambar di sini... tapi hanya lah bergambar di depan muka pintu gerbang ini, tapi rasa ralat juga kerana tidak menjelajah hingga ke dalam, walaupun barangan yang dijual boleh di jangka, tetapi suasana tu mesti di rasai sekali, eerrmm InsyaAllah akan datang, harap-harap MCo akan menerokai kawasan ini lagi.
Pandangan daripada seberang jalan Tamu Kianggeh ini.

selain boleh melintasi Tamu Kianggeh ini dengan jambatan, kita juga boleh menaiki boat ini, dan bukan itu sahaja, boat ini juga boleh digunakan untuk bersiaran di sepanjang sungai ini, kadar tambang, MCo tidak tahu, tapi menurut orang tempatan, ia agak mahal. tetapi terpulang lah.

Kampung Air BDS

MTL hanya berada di seberang Kampung Air ini, dan tidak menjejakan kaki ke Kampung Air yang sebenar.
untuk itu, biarlah MCo cerita serba sedikit berkenaan Kampung air ini..
Kampung air ini adalah kumpulan atau gagasan daripada 42 kampung yang dibina atau di sepanjang sungai dan rumah-rumah adalah diperbuat daripada kayu, tetapi sekarang ada berpendapat sudah di konkrit, di anggarkan seramai 30 ribu orang penduduk dan yang paling menarik ialah ia merupakan kampung air TERBESAR di dalam dunia dan ia juga di kenali sebagai "Venice Timur".

Kampung air sebenarnya terdiri daripada perkampungan kecil yang dihubungkan oleh lebih dari 29,140 meter jambatan kaki, dan merangkumi 4,200 binaan termasuk rumah kediaman, masjid, restoran, kedai, sekolah dan sebuah hospital. Laluan pejalan kaki yang panjang tuntas 36 kilometer menghubungkan bangunan-bangunan kampung ini. Pengangkutan utama di kampung ini ialah sampan yang kebiasaannya dilengkapi dengan enjin bot; teksi air persendirian, ataupun swasta, yang kebanyakannya menyerupai bot laju panjang, menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang pantas. Dari jauh, kampung ini kelihatan seakan-akan kampung setinggan tetapi sebenarnya penduduk kampung ini menikmati kemudahan moden seperti bekalan elektrik, penyaman udara, televisyen satelit, Internet, dan sistem saliran. Beberapa orang kampung juga membela ayam dan bercucuk tanam dalam pasu. Rumah-rumah kediaman daerah ini mempunyai ciri seni bina unik — bahagian dalam rumah-rumah kayu penuh hiasan yang rapi.
Kampong Ayer telah diduduki selama 1,300 tahun. Antonio Pigafetta menggelarnya "Venice Timur" apabila armada Ferdinand Magellan singgah di kawasan itu pada tahun 1521.Dari segi budaya Brunei, daerah ini merupakan daerah yang penting yang mengekalkan asal-usul petempatan tebing sungai penduduknya. Mengikut Profesor Abdul Aziz daripada Universiti Brunei Darussalam, Kampong Ayer merupakan petempatan air yang paling luas dan termasyhur di Asia Tenggara. "Dari segi sejarah, ia merupakan jati diri negara Brunei dan juga sebuah pusat perdagangan terpenting di Borneo. - sumber: Wikipedia.



Dua keping gambar MCo sempat snap di arca mercu tanda kampung air... tapi ia seberang sini, seberang sana ialah kampung air.

ermm...biarlah gambar ini menceritakannya segalanya.....hehehe

Pandangan kampung air.....dari seberang

Sempatlah MCo bergambar di tebing sungai ini...nung jauh kelihatan ialah kampung air
Boat atau "water taxi"..untuk ke kampung air..... kadar bayaran MCo pun kurang pasti...sebab kesilapan MCo ialah untuk tidak bertanya berkenaan itu, sepatutnya MCo mengambil peluang untuk bertanya....

Masjid Omar Ali Saifuddien


Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin  ialah salah satu masjid di BDS dan lokasinya ialah di BSB iaitu ibu negara BDS. untuk pengetahuan masjid ini telah pun di iktiraf sebagai salah satu masjid terunik di Asia Pasifik dan ia juga secara tidak langsung sebagai "trade mark" BDS, atau lebih dikenali sebagai Mercu tanda BDS.
Masjid ini dinamakan sempena sultan BDS yang ke 28 dan ia siap di bina pada tahun 1958, ia didirikan dalam sebuah lagun buatan di tepi sungai Brunei. Jika di lihat dari segi rekabentuknya ia memiliki menara yang dibuat daripada marmar dan yang paling menarik ialah kubah utama bersalut emas. Persekitaran masjid ini dikelilingi pokok-pokok dan arca kapal serta pancutan air.

jadi...jika anda datang ke BDS, jangan lupa untuk singgah di sini, jika berpeluang, di hari Jumaat anda akan bersolat bersama Sultan Brunei.


Ini..adalah di snap sendiri oleh camera MCo, hehehe sebab sebelum ini, MCo hanya lihat di layar komputer, tv, sekarang sudah berada di depan mata.
Posisi ini lah yang menjadi terkenal...

2 keping gambar yang di snap...untuk kenangan MCo di trade mark BDS ini.
lagi gambar masjid tersebut tanpa halangan daripada jaringan pagar... (gambar MCo snap sendiri dari hp)
Pintu gerbang yang terdapat bersetentangan dengan masjid tersebut.
Sedikit penerangan mengenai Masjid Omar Ali Saifuddien ini... tak banyak yang MCo dapat baca.
waktu ini adalah dalam sekitar jam 1 tengahari, masjid pun telah di tutup untuk lawatan orang-orang bukan Islam, cuma orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk, dan di dalam masjid ini dilarang untuk mengambil gambar.
Masjid ini boleh memuatkan seramai 3000 jemaah dalam satu-satu masa... ermm gambar tiada kaitan dengan penyataan MCo tadi...hehehe


MTL..... bergambar di depan "batu tanda" masjid tersebut.... tak banyak untuk dicerita kan...tetapi memori tetap ada.

Semasa MCo di Masjid Omar Ali Saifuddien ini, MCo terserempaklah dengan 2 orang pengujung daripada Acheh ini, cukup ramah dan berbudi, MCo pun senang dengan percakapan mereka, tapi yang paling bertuah, MCo kini dah dapat 2 lagi kenalan baru, dan mereka juga mempelawa MCo ke Acheh, InsyaAllah akan datang, MCo pasti tidak akan ketinggalan untuk melawat bandar yang pernah di landa Tsunami pada 2004 itu.

Menurut mereka, masih lagi terdapat tinggalan asal bencana alam tersebut, seperti kapal yang lekat di bangunan 4 tingkat, dan ia sudah menjadi monumen terkenal di bandar Acheh tersebut, dan dikabarkan Acheh merupakan wilayah yang mempunyai pengaruh Islam yang kuat. ...dan berita orang-orang tua dahulu juga... Acheh ini juga merupakan satu-satunya wilayah di mana tiada kemasukan penjajah seperti Brittish dan Belanda. benarkah cerita ini? tunggu MCo akan ke sana nanti...
secara terperincinya, dua orang daripada Acheh tersebut iaitu disebelah kanan MCo ialah bapak Zainal Arifin dan sebelah kiri MCo ialah bapak Safaruddin. Maka kalau ada pengujung daripada Malaysia khususnya untuk ke Acheh, MCo merasakan boleh juga hubungi mereka, di harap mereka tidak keberatan pendedahan MCo ini. apa-apa pun MCo sangat berbesar hati dengan mereka kerana mempelawa MCo ke Tanah mereka. InsyaAllah.



bergambar di kawasan sekitar masjid...
Gambar dari jarak dekat Masjid Omar Ali Saifuddien.... tu lihatlah kubah yang bersalut emas...
Masjid Jame' Sultan Hasanal Bolkiah... gambar dari jarak jauh... dan mercu tanda ini terdapat pada duit Brunei $10.00.
Di masjid ini, MCo hanya bergambar di muka pintu sahaja, memandangkan waktu sudah singkat untuk ke airport, cukuplah sekadar gambar. bergini lah BDS, tidak banyak monumen lain, kecuali masjid-masjid indah.
...Untuk pengetahuan, amat sukar untuk melihat Teksi di BDS ini, memandangkan setiap rumah mempunyai kereta, namun bergitu, di BDS ini masih terdapat pengangkutan awam iaitu bas, ini lah sekerap gambar yang sempat MCo snapkan, tapi amat sukar untuk mengambil bas ini sebab jarang sekali terjumpa, ini lah rezeki MCo dapat snap pengangkutan awam ini, anda mungkin lebih memahami...dan sebenarnya MCo tidaklah perlu mencari sebuah bas untuk snapkan gambar, sebab semua sedia maklum keadaan bas tersebut.

Istana Nurul Iman

Istana Nurul Iman ialah tempat kediaman rasmi bagi sultan Brunei iaitu Sultan Hassanal Bolkiah dan lokasinya ialah berdekatan dengan tebing Sungai Brunei dan yang paling menarik ialah ia   merupakan tempat kediaman paling besar di dunia.

 Istana ini mempunyai 1,788 bilik, 257 bilik mandi serta sebuah dewan jamuan yang boleh menampung seramai 5,000 orang dan mempunyai sebuah masjid yang boleh memuatkan seramai 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Di istana ini juga terdapat 110 buah garaj kereta, kandang kuda berhawa dingin yang menempatkan 200 ekor kuda polo  milik Sultan serta 5 buah kolam renang. Secara keseluruhan, Istana Nurul Iman mempunyai ruang lantai sebesar 2,152,782 kaki persegi (200,000 ).Disebabkan saiz istana ini yang sangat besar, maka terdapat 564 lampu candelier, 51,000 mentol lampu  44 tangga dan 18 lif di situ.
 -sumber wikipedia
Ini lah boleh dikatakan "rumah" paling besar di dunia mungkin MCo tidak sempat untuk menjelajah ke dalam istana ini..hahaha, mana mungkin sebab rakyatnya sendiri pun belum tentu dapat inikan pula MCo.
sempatlah MCo bergambar depan pintu gerbang ni...salah satu mercu tanda BDS.
bergambar bersama Tarmizi di depan pintu Istana Nurul Iman.

...dan tidak ketinggalan bergambar juga dengan Loddy.
Kelihatan 2 orang pegawai sedang berkawal..... yang menjadi kebiasaan pegawai di pintu-pintu Istana di seluruh dunia.... tidak boleh bergerak, tidak boleh bercakap dan berdiri bergitu seperti patung.

Sempat snap dalam perjalanan ke airport, iaitu Bangunan Brunei Mall...jadi MCo memang tiada cerita mengenainya, cuma untuk snap dan untuk memberi gambaran keadaan persekitaran BDS ini.

Satu keping gambar yang menjadi kenangan selamanya. Sebenarnya MCo pun tidak tahu kepada siapa baju ini di beli, Oleh kerana sudah biasa membeli baju ini untuk seseorang dahulu, maka MCo bila nampak je baju seperti ini, tanpa berfikir panjang....tetapi bila sudah membayar, barulah MCo terfikir, "Kepada siapa baju ini? untuk siapakah baju ini?" tapi tak apa lah..mungkin ia akan menjadi salah satu koleksi MCo.

Akhir kata, pada kali ini, MCo sangat berpuas hati ke BDS ini, bukan berjalan sahaja, tetapi MCo seperti telah mendapat famili baru di sini samada di Limbang atau di BDS.
sesungguhnya perjalanan ini hanyalah satu rasa, satu destinasi awalnya...tetapi sekarang ia sudah menjadi satu talian persahabatan... anda enjoy anda yang tentukan.

kepada: Tarmizi, Loddy, dan Edy serta keluarga samada di Limbang dan BDS (sepupunya), MCo sangat-sangat berterima kasih dan memang sukar untuk MCo melaritkan penceritaan ini jika tiada bantuan mereka. apa-apa pun MCo sangat berbesar hati untuk terus melanjutkan perjalanan ini pada masa akan datang.

ciao...

Info Ringkas Dan Menarik Berkenaan Brunei
(Di perolehi secara lisan dan langsung daripada penduduk BDS terutama Tarmizi, Loddy dan Peng)
  1. Negara mengharamkan rokok, dan tidak di jual di mana-mana kedai, jika di tangkap menghisap rokok boleh di kompaun antara $500-$10k.
  2. Di ketahui umum, negara mengharamkan Arak,
  3. petrol harga seliter RON95 $0.30++sen dan RON97 $0.50++
  4. Kebanjiran pekerja asing seperti India, Bangladesh, Philipine dalam kerja-kerja buruh.
  5. Sebuah rumah memiliki sekurang-kurangnya 1 buah kereta.
  6. sukar mendapati teksi
  7. walaubagaimana pun mempunyai bas (seperti bas mini) dengan kadar bayaran $1.00 ke mana sahaja.
  8. off topik: Limbang di ibaratkan sebagai Sg.Golok atau Danok bagi di semenanjung oleh orang2 BDS.
  9. Kenderaan di BDS tidak boleh tinted dan sebarang modified kereta walaupun tukar rim kereta daripada 16 inci kepada 17 inci. dan plat kereta bermula dengan awalan huruf B (seperti Selangor) dan K (seperti Kedah)...MCo tidak mengetahui Plat itu di bahagi kepada wilayah mana.
  10. mempunyai satu makanan yang mengekalkan harga tradisi iaitu "Nasi Katok".
  11.  Exchange $$$ matawang (pada masa ini Disember 2013) BRD$1.00 bersamaan RM2.60 hampir menyamai matawang Singapore.
  12. Merupakan Negara pemerintahan Monarki Mutlak yang di pimpin oleh  Sultan Hasanal Bolkiah iaitu sultan BDS yang ke 29 yang  mengantikan ayahandanya Sultan Omar Ali Saifuddien III  pada 1967.
  13. Diceritakan, Di BDS ini tidak banyak bangunan yang tinggi kerana pemerintah menghadkan bahawa bangunan tidak boleh lebih tinggi daripada Menara Masjid. 
  14.  Rata-rata penduduk di sempadan mempunyai dua indentiti kad, satu Malaysia dan satu Brunei.

Masni Haji Arshad, ibu kepada sahabat MCo ni, (Tarmizi, Loddy dan Edy), ini adalah contoh kad identiti yang dimilikinya, dan ia merupakan atau salah satu pass untuk pekerja Malaysia di Brunei (jika tidak silap), dan warna juga agak berbeza dengan "Brunei Origin".



15. Brunei Airport mengenalkan $12.00 sebagai caj cukai... jadi setiap pengujung ke BDS ini jika ingin depart melalui   airport..pastikan anda simpan $12.00 untuk airport tax.



-info ini mungkin akan di tambah dari semasa ke semasa.....

5 comments:

Azra said...

Kad hijau tu mmg utk foreigners yg keje kat Brunei .. i still got mine.. simpan wat kenangan.. sing dollar and brunei dollar same rate.. both can be used in both countries ... syok je org brunei pi shopping kat singapore

dirafum MCo said...

Azra... good info... ya, MCo memang di fahamkan rate mata wang Brunei dan Singapore adalah sama....

Unknown said...

Hehe, perjalanan yang menarik. Ada foto kami pula di sana.........

Rupanya kita ke BDS sama-sama dari KK. Bedanya, kami berangkat dari KK ke BDS melalui Menumbok. Naik fery ke Labuan, lalu naik kapal lagi ke BDS. Dua hari di BDS, kami balek ke KL melalui BDS International Airport. Perjalanan yang menarik.

Kami tunggu di Acheh ya........

Unknown said...

Oya, sebelum ke Aceh, jangan lupa juga kunjungi blog kami di http://yayasan-ummi.blogspot.com/

Insya Allah, kami akan membantu sesiapa pun yang nak berkunjung ke Acheh. Jika ada rakan-rakan yang tertarik membantu pengajian budak-budak dan anak-anak yatim di tempat kami, Insya Allah kami akan membantu keperluan-keperluan Mco dan rakan-rakan selama ada di Acheh. Semoga Allah selalu memberikan berkah dan karunianya kepada seluruh umat muslim. Amin ya Rabbal Alamin

dirafum MCo said...

Alhamdulillah....saudara Zainal... terima kasih kerana singgah di blog saya ini...apa2 pun, ini memang perjalanan yang menyeronokan, malah dapat teman baru lagi.... dan insyaAllah, saya juga akan melawat blog saudara itu.... dan ke Acheh juga...saya akan merencanakan untuk pergi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...